09 January 2009

Anak muda hilang semangat perjuangan Umno



Abdul Rahim Sabri | Jan 7, 09 10:51am

Pemuda Umno Padang Besar menggesa calon-calon Ketua Pemuda yang bertanding agar mengambil kira suara dan pandangan akar umbi sekiranya memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.


"Perjuangan Pemuda Umno untuk bangsa, agama dan tanahair. Tetapi (jangan) bila pegang jawatan (nanti), kami dilupakan," kata ketua Pemudanya, Mohsin Yusof kepada Malaysiakini.

bm version pencalonan ketua pemuda umno mukhriz khir toyo khairy state breakdown umno youth chief 011208Pemilihan jawatan ketua Pemuda akan berlangsung pada Mac depan yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara naib ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; exco pergerakan Pemuda, Datuk Mukhriz Mahatir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Mohsin berkata, Pemuda bahagian itu berharap calon ketua Pemuda harus ikhlas dalam mengotakan apa yang dijanjikan kepada perwakilan pergerakan itu di seluruh Malaysia.

Menurutnya lagi, antara cabaran yang dihadapi oleh Pemuda hari ini ialah berhubung anak-anak muda yang sudah kehilangan akar dan semangat perjuangan Umno.

Sehubungan itu, katanya, semangat perjuangan Pemuda Umno harus diuar-uarkan kembali bagi meningkatkan semangat pergerakan tersebut.

Mohsin juga mengesahkan ketiga-tiga calon yang merebut jawatan ketua Pemuda telah menemui perwakilan-perwakilan di Perlis.

Perlis mempunyai tiga bahagian dan mengikut peraturan mesyuarat, setiap Pemuda bahagian diwajibkan menghantar empat perwakilan, termasuk ketua dan naib ketua.

Maklum balas

Menurut ketua pemuda Padang Besar itu, perjumpaan dengan 12 perwakilan itu berlangsung dalam bulan Disember lalu di tempat dan masa yang berasingan.

Pertemuan itu bertujuan untuk menerangkan misi dan visi calon yang bertanding agar perwakilan membuat penilaian terhadap calon ketua Pemuda.

Pada bulan Disember itu juga, jelas Mohsin, terdapat pertemuan kali kedua antara wakil-wakil calon dengan perwakilan bagi mendapatkan maklum balas hasil daripada pertemuan pertama.

Beliau berkata, pihaknya tidak menentukan perwakilan untuk memberi sokongan kepada calon tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya bersikap terbuka dengan memberi peluang kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

"Perwakilan matang untuk memilih (calon ketua Pemuda). Tidak ada usaha untuk mempengaruhi satu sama lain. Kita ada masa yang cukup (untuk membuat pilihan)," kata Mohsin.

Sehubungan itu, perwakilan bahagiannya turut memberi penilaian terhadap jentera-jentera kempen calon-calon kerana jentera kerja adalah cerminan kepada calon yang bertanding.

Politik wang

"Kita tengok tingkah laku kawan-kawan calon yang bertanding kerana mereka mencerminkan kejayaan calon. Jentera menggambarkan calon," kata Mohsin.

Mengulas berhubung politik wang berlaku dalam Umno khususnya sewaktu tiba pemilihan parti, Mohsin berkata:

"Bagi saya ia satu cubaan untuk mengelirukan perwakilan. Pemberian sumbangan dan cenderahati bukan politik wang.

"Kalau melibatkan jumlah wang yang besar, ia boleh dikatakan percubaan untuk membeli undi. Tapi kalau melibatkan sejumlah kecil, ia perkara biasa.

"Tiada garis panduan yang jelas, apa itu politik wang," kata Mohsin.

Sementara itu, 15 ahli jawatankuasa Pemuda Padang Besar akan menyertai kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, kata Mohsin.

Mereka ditugaskan untuk memantau dan berkembang perjalanan pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada 15 Januari ini.

08 January 2009

Doa Untuk Palestine....


Marilah Sama-sama Kita Berdoa;

Saudara Kaum Muslimin Rahimakumullah,
Bertaqwalah kita kepada Allah s.w.t ddengan melakukan segala kebaikan dan meninggalkan segala tegahan. Setiap dari kita cintakan keamanan dan kesejahteraan di dalam kehidupan ini. Oleh itu pastinya kita akan merasa sedih apabila baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita keganasan di Timur Tengah yang melibatkan banyak jiwa tidak berdosa telah terkorban. Ramai penduduk yang tidak bersalah telah terbunuh, rumah penginapan mereka hancur musnah dan ramai lagi yang terselamat sekarang ini pula pastinya hidup di dalam keadaan ketakutan dan keresahan. 

Sebagai masyarakat rahmah, kita amat sedih dengan peristiwa yang berlaku ini dan bersimpati terhadap keluarga-keluarga mangsa dalam tragedi tersebut. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan kekuatan dan ketabahan terhadap keluarga-keluarga mereka dalam menghadapi waktu-waktu yang sukar lagi tidak menentu ini.

Kita berdoa dan berharap agar semua pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghentikan segala keganasan dan serangan dan menghormati nilai jiwa manusia. Semoga mereka dapat menjauhkan diri dari lebih banyak pertumpahan darah dan pengorbanan jiwa.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, bantulah saudara-saudara kami dalam menghadapi ujian ini dan janganlah Engkau biarkan mereka bersendirian menghadapi ujian ini. Ya Allah, kami bermohon kepada-Mu, kukuhkanlah keyakinan mereka, utuhkanlah kedudukan mereka, lindungilah mereka dan janganlah Engkau palingkan rahmat-Mu daripada mereka. Berikanlah mereka petunjuk dan mudahkanlah bagi mereka menerima petunjuk-Mu.

Ya Allah, satukanlah perhimpunan umat ini dengan rasa penuh ihsan dan simpati terhadap apa yang berlaku terhadap saudara-saudara kami. Sepadukanlah jiwa-jiwa mereka dengan rasa muhibbah serta kasih sayang. Kukuhkanlah azam mereka dalam membuat kebajikan dan kebaikan amal.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami, maafkanlah keterlanjuran kami dalam mengatur urusan kami. Teguhkanlah pendirian kami dan bantulah mereka dan kami dalam menghadapi ujian yang sungguh berat ini.

Ya Allah, jadikanlah negara kami ini sebuah negara yang aman makmur, tenteram dan maju jaya. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah. Duhai Hakim yang amat adil penghakiman-Nya, Wahai Perencana yang Maha Hebat Perencanaan-Nya. Amin Ya Rabbal 'Alamin.