06 November 2008

Pecah dan Perintah


Sejarah Penjajahan

Sedar tak sedar, negara yang majoriti penduduknya adalah Islam seperti Malaysia, Pakistan, Indonesia dan lain-lain telah mengalami fenomena yang sama. Negara-negara ini telah cuba dijajah dalam bentuk fizikal iaitu tentera barat datang menakluk negara-negara ini. Penduduk Islam ketika itu telah menemui semangat untuk melepaskan diri daripada penjajahan.

Usaha ini tak mudah bagi negara yang tak mahu tunduk dengan kemahuan barat, iaitu kemahuan untuk 'membaratkan' negara itu. Kita boleh lihat bezanya, Indonesia terpaksa banyak bermandi darah untuk merdeka kerana mereka tak mahu mereka 'dibaratkan', tetapi Malaysia dan Pakistan tak seteruk itu. Buat rundingan, akhirnya barat setuju memerdekakan negara-negara ini. Apa yang menyebabkan mereka setuju sebenarnya? Tak lain tak bukan, kerana negara-negara ini sedia tunduk untuk dibaratkan. Hasilnya sistem demokrasi untuk memilih pemimpin dibawa masuk, perundangan barat dibawa masuk, sistem pendidikan barat dibawa masuk, budaya barat pun dibawa masuk.

Penjajah Selepas Penjajah
Selepas penjajah pulang ke negara mereka, negara-negara ini telah ditinggalkan dengan golongan yang pro-barat, iaitu mereka yang terleka dengan kemajuan yang dibawa hasil proses membaratkan negara mereka. Mereka ini terus melaksanakan apa yang dibawa masuk oleh barat. Manakala pejuang-pejuang kemerdekaan yang bersama mereka ini suatu masa dulu turut terleka kerana mereka nampak barat sudah tidak menjajah mereka lagi.

Pejuang Kemerdekaan Mula Sedar
Perjuangan dahulu ialah memerdekakan negara daripada 'dibaratkan', penduduk negara yang dijajah mahu mereka kekal mengamalkan Islam. Namun, sebenarnya selepas penjajah pulang dan mereka dimerdekakan, rupanya mereka tak dapat mengamalkan Islam sepenuhnya, terutamanya dalam hal-hal fiqah atau undang-undang dan peraturan hidup.

Lalu pejuang-pejuang ini bangkit semula cuba membebaskan negara mereka daripada penjajahan oleh rakan mereka sendiri yang satu masa dahulu bersama mereka memperjuangkan kemerdekaan. Cara paling utama mereka ialah dengan membentuk parti yang memperjuangkan Islam untuk memenangi pemilihan pemimpin dalam demokrasi yang diperkenalkan barat.

Berkesankah Demokrasi?
Sehingga hari ini, perjuangan mengubah kepimpinan negara untuk mengamalkan Islam sebenar masih tidak tercapai. Maka timbullah persoalan, berkesankah demokrasi yang cuba mereka menangi itu? Pelbagai cara diguna, namun golongan pro-barat tetap bijak mengatur strategi untuk meneruskan penjajahan barat dengan cara tempatan itu.

Asas Perubahan Yang Sebenar
Kita ada contoh, satu negeri di dalam satu negara yang dijajah ini yang mana telah memenangi pemilihan pemimpin iaitu Kelantan, di negara Malaysia. Apa bezanya Kelantan dengan yang lain? Jawapannya ialah kemenangan mereka telah diperoleh kerana asas mereka kukuh. Asas yang kukuh ialah Islam itu sendiri diterima dan diamalkan dengan baik oleh penduduknya, manakala di negeri-negeri yang lain, penduduknya masih ramai yang tak menerima Islam sepenuhnya dalam diri mereka.

Jadi asas perubahan yang sebenar ialah menjadikan penduduk Islam di negara itu selesa menerima Islam sepenuhnya dan secara sempurna, bukan hanya Islam dalam ibadah solat, puasa, nikah-kahwin, urusan kematian dan perwarisan harta.

Perjuangan membawa perubahan tidak akan menjadi, jika pendokong-pendokong perjuangan perubahan itu sendiri tidak menerima Islam dengan selesa dan ikhlas. Jika demokrasi berjaya dimenangi, perundangan Islam berjaya ditegakkan, adakah akan selesa penduduk yang telah selesa dengan kegemaran mereka terhadap hiburan, kemewahan, kebebasan cara hidup dan sebagainya yang banyak disekat dan dibataskan oleh Islam?

Mari Laksanakan Perubahan
Maka, perjuangan merubah negara perlu bermula dengan asasnya. Penduduk negara itu perlu disedarkan supaya berubah, daripada selesa dengan cara hidup bebas melanggar batas-batas Islam, kepada selesa membataskan diri dengan petunjuk agama serta selesa hidup dengan ahklak Islam.

Perubahan perlu dilakukan menyeluruh, bermula daripada diri sendiri, kemudiannya keluarga dan akhirnya masyarakat. Barulah, masyarakat ini benar-benar mendokong Islam dengan ikhlas, bukannya menyokong perubahan kerana semangat hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Teruskan Mencuba Demokrasi
Walau bagaimana pun, cubaan mengembalikan Islam dengan cara demokrasi masih boleh diteruskan. Mungkin saja, bila Islam dapat dikembalikan kepada haqnya, para pemimpin ini akan melakukan sistem penjana perubahan untuk mengubah penduduk negaranya agar menerima Islam sepenuh hati. Mungkin bila mereka memimpin, program-program kesedaran Islam akan bertambah dan dapat dibuat dengan bebas, lalu penduduk negara itu dapat dipimpin untuk berubah, bersama perubahan negaranya.

Selamat mencuba cara demokrasi.

Nota:
Saudara sekelian dapat memahami tulisan ini dengan lebih lanjut dengan membaca buku bertajuk Tanggungjawab Pemuda Islam Hari Ini tulisan Abu Alam Al-Maududi.