09 January 2009

Anak muda hilang semangat perjuangan Umno



Abdul Rahim Sabri | Jan 7, 09 10:51am

Pemuda Umno Padang Besar menggesa calon-calon Ketua Pemuda yang bertanding agar mengambil kira suara dan pandangan akar umbi sekiranya memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.


"Perjuangan Pemuda Umno untuk bangsa, agama dan tanahair. Tetapi (jangan) bila pegang jawatan (nanti), kami dilupakan," kata ketua Pemudanya, Mohsin Yusof kepada Malaysiakini.

bm version pencalonan ketua pemuda umno mukhriz khir toyo khairy state breakdown umno youth chief 011208Pemilihan jawatan ketua Pemuda akan berlangsung pada Mac depan yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara naib ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; exco pergerakan Pemuda, Datuk Mukhriz Mahatir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Mohsin berkata, Pemuda bahagian itu berharap calon ketua Pemuda harus ikhlas dalam mengotakan apa yang dijanjikan kepada perwakilan pergerakan itu di seluruh Malaysia.

Menurutnya lagi, antara cabaran yang dihadapi oleh Pemuda hari ini ialah berhubung anak-anak muda yang sudah kehilangan akar dan semangat perjuangan Umno.

Sehubungan itu, katanya, semangat perjuangan Pemuda Umno harus diuar-uarkan kembali bagi meningkatkan semangat pergerakan tersebut.

Mohsin juga mengesahkan ketiga-tiga calon yang merebut jawatan ketua Pemuda telah menemui perwakilan-perwakilan di Perlis.

Perlis mempunyai tiga bahagian dan mengikut peraturan mesyuarat, setiap Pemuda bahagian diwajibkan menghantar empat perwakilan, termasuk ketua dan naib ketua.

Maklum balas

Menurut ketua pemuda Padang Besar itu, perjumpaan dengan 12 perwakilan itu berlangsung dalam bulan Disember lalu di tempat dan masa yang berasingan.

Pertemuan itu bertujuan untuk menerangkan misi dan visi calon yang bertanding agar perwakilan membuat penilaian terhadap calon ketua Pemuda.

Pada bulan Disember itu juga, jelas Mohsin, terdapat pertemuan kali kedua antara wakil-wakil calon dengan perwakilan bagi mendapatkan maklum balas hasil daripada pertemuan pertama.

Beliau berkata, pihaknya tidak menentukan perwakilan untuk memberi sokongan kepada calon tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya bersikap terbuka dengan memberi peluang kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

"Perwakilan matang untuk memilih (calon ketua Pemuda). Tidak ada usaha untuk mempengaruhi satu sama lain. Kita ada masa yang cukup (untuk membuat pilihan)," kata Mohsin.

Sehubungan itu, perwakilan bahagiannya turut memberi penilaian terhadap jentera-jentera kempen calon-calon kerana jentera kerja adalah cerminan kepada calon yang bertanding.

Politik wang

"Kita tengok tingkah laku kawan-kawan calon yang bertanding kerana mereka mencerminkan kejayaan calon. Jentera menggambarkan calon," kata Mohsin.

Mengulas berhubung politik wang berlaku dalam Umno khususnya sewaktu tiba pemilihan parti, Mohsin berkata:

"Bagi saya ia satu cubaan untuk mengelirukan perwakilan. Pemberian sumbangan dan cenderahati bukan politik wang.

"Kalau melibatkan jumlah wang yang besar, ia boleh dikatakan percubaan untuk membeli undi. Tapi kalau melibatkan sejumlah kecil, ia perkara biasa.

"Tiada garis panduan yang jelas, apa itu politik wang," kata Mohsin.

Sementara itu, 15 ahli jawatankuasa Pemuda Padang Besar akan menyertai kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, kata Mohsin.

Mereka ditugaskan untuk memantau dan berkembang perjalanan pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada 15 Januari ini.

1 comment:

inilah jalanku.... said...

Bukan hilang semangat perjuangan tok ketua, cuma semangat nie tak dipulihkan dengan habuan yang berterusan. Itulah semangat yang ada pada UMNO hari ini. Inilah perjuangan sebenar yang harus UMNO lakukan demi survival politik UMNO yang kita cintai.

Rata-rata org berjawatan dalam UMNO samada diperingkat cawangan atau bahagian asyik memperkatakan tentang projek itu dan ini. Tidak lagi memikirkan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung. Masalah penduduk bukan lagi agenda utama perjuangan, yg menjadi agenda utama perkara yang tersebut tadi. Kata orang2 ini, tak guna berpolitik kalau tak "asuk". Masalaha hampa, hampa atasilah sendiri.

Harap tok ketua bawa team turun padang masuk ke kampung2 bawa bersama YB Titi Tinggi, Ketua Cawangan lihat dan catat permasalahan penduduk untuk dikemukakan kepada pihak atasan/berkuasa.

Tok ketua, YB saya nie sejak jadi wakil rakyat DUN Titi Tinggi batang hidungpun tak nampak. Tang mana dia dok pi mampuihpun tak tau.(Ha tu mulalah nak maki). Tolong pi sat kampung melayu nak tunjuk ckit, ada ka patut cina nie buat parit sekerat saja, pastu ayaq hujan turun mai dari parit dia lepas masuk ke rumah orang. Sampai rumah orag jadi bendang.

Satu cerita lagi, tapi nak ucap terima kasih dulu kat MPK sebelum nak bedai depa. Terima kasih kerana buat parit selepas menerima rungutan penduduk. Tapi nampak macam ala kadar saja atau dengan kata pepatah sekadar melepas batuk di tangga. Ada satu lagi cabang parit buta yang tidak diuruskan dengan sempurna. Bila tanya kontraktor yang buat parit tu, peruntukan tak cukup. Tapi projek yang mendatangkan keuntungan dekat depa contohnya gerai MPK kat Taman Singgahsana depa boleh buat dengan cantik. Orang tak suruh buatpun depa buat. Baguihlah tu sebab objektif MPK untuk memaksimumkan keuntungan. Tapi tok ketua, kebajikan penduduk kena dioptimumkan juga.Org kata rakyat sihat negara maju, kalau rakyat semua tak sihat kedai depapun org nak sewa susah.

Mana dia yang dikatakan kerajaan prihatin kalau dapat wakil rakyat macam YIP ni. Rakyat sedang memerhati tingkahlaku dan tindak tanduk setiap yang dikatakan pemimpin nie. Memanglah kita tak boleh perfect dlm byk hal, tetapi iltizam kita utk cuba meminimakan permasalahan rakyat inilah yg amat diharapkan.

Harap2 tok ketua dapat membawa keluh kesah ini ke pengetahuan pihak sebenarnya bertanggungjawab.

Tengok gaya tok ketua, dah ada talent sebagai pemimpin rakyat. Dengan kesederhanaan hidup, begitu mudah didampingi sehingga sy tak segan silu untuk menyampaikan permasalahan setempat.

Wassalam.