23 October 2008

Takkan Melayu Hilang Di Dunia!

Petikan dari www.isuhot.com

Takkan Melayu Hilang Di Dunia!
Posted on Thursday, October 23 @ 15:45:10 MYT by pu3saadong

taminsari writes "

Orang Melayu selalu berbangga dengan ungkapan “Takkan Melayu Hilang di Dunia”. Sekadar takjub dengan ungkapan itu sebenarnya tiada makna. Ungkapan yang membawa maksud kelangsungan ketuanan Melayu di bumi nusantara ini, kini menawarkan dua pilihan kepada orang Melayu - sama ada terus membina kegagahan dalam persaingan antarabangsa yang kian rakus atau meniti laluan yang suram sebelum tenggelam bersama arus peradaban.

Alaf baru tidak akan menjanjikan nikmat untuk bangsa Melayu jika masih di tahap peningkatan yang sederhana memandangkan dunia akan terus mengizinkan bangsa yang kuat membuli bangsa yang lemah. Sememangnya warisan atau identiti Melayu itu sukar untuk hilang biarpun beberapa kurun lagi tetapi persoalannya ialah apakah kuasa Melayu itu akan bertahan berikutan ancaman yang kian meningkat baik dari luar mahupun dalam negara?

Serangan-serangan terhadap Malaysia yang diterajui oleh kepimpinan Melayu kian ketara lebih-lebih lagi apabila setiap kali pilihan raya umum bakal diadakan. Proses pilihan raya sememangnya menjadi ruang terbaik pihak-pihak asing untuk mempengaruhi keadaan bagi mencorakkan Malaysia mengikut kehendak mereka. Sebab itulah, buat pertama kalinya dalam sejarah, pihak asing sama ada negara mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang dijana dengan sumbangan kewangan negara maju, memberikan perhatian luar biasa untuk 'menghukum' Malaysia, sebuah lagi negara kepimpinan Islam dan Melayu di nusantara selepas Indonesia.

Mengapa demikian? Pada kaca mata asing, belum pernah dunia melihat kebangkitan sebuah negara Islam pimpinan Melayu yang begitu berkeyakinan, berdaya maju dan malah berani mengkritik apa sahaja demi membetulkan orde dunia supaya lebih adil untuk semua. Pada perspektif negara maju juga, Islam mendapat kekuatannya menerusi kecemerlangan dan orientasi itu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Berbanding dengan negara-negara Islam yang lain termasuk di rantau Arab, dunia Barat kini melihat kebangkitan sebenar Islam di Malaysia.

Ada sarjana Barat mengakui bahawa Tun Dr. Mahathir meletakkan landasan yang betul kepada kebangkitan Islam iaitu bukan dengan cara pemikiran kolot, bukan dengan retorik, bukan dengan menyempitkan agama dan bukan dengan rasa takut sebaliknya dengan kecemerlangan, yang sebagaimana menjadi teras keagungan Islam zaman lampau.

Kepada mereka, Tun Dr. Mahathir merupakan pemimpin Islam yang paling strategis pada masa kini. Selagi Dr. Mahathir menerajui Malaysia, selagi itulah percaturan Malaysia sukar dibaca. Golongan sarjana Barat ini tidak pernah melihat pemimpin pembangkang baik Abdul Hadi, Nik Aziz mahupun Anwar Ibrahim sebagai alternatif kepada kecemerlangan kepimpinan Islam. Barat tidak pernah takut untuk berdepan dengan pemimpin bayangan alternatif ini. Malah untuk menghadapi muslihat dan percaturan pemimpin Singapura juga, mereka rasanya tidak mampu. Bagi sebahagian pemimpin asing, kejatuhan Dr. Mahathir dan kelemahan Melayu sememangnya dinantikan tetapi bagi kebanyakan negara Islam dalam diam mereka mendoakan sebaliknya.
Apabila beliau (Dr. Mahathir) mengadunkan budaya kerja cemerlang , kekuatan berfikir, teknologi seperti projek MSC dan Wawasan 2020, anda sudah boleh lihat kecemerlangan Islam. Inilah ramuan yang sebenarnya ditakuti oleh Barat, kecuali jika Dr. Mahathir boleh berlembut terhadap mereka.

Belum ada pemimpin Islam era ini yang mempunyai kekuatan akal dan keberanian seperti beliau. Dr. Mahathir bukan sahaja nasionalis sejati Melayu tetapi pejuang Islam sebenar. Kepada sesetengah negara Barat, kepimpinan Melayu yang dinamis inilah ancaman sebenar jika mahu dilihat sebagai ancaman daripada dunia Islam. Cara Malaysia 'mengajar' Barat dalam mencari penawar kegawatan ekonomi; kritikan-kritikan berani Malaysia terhadap ketidakadilan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara-negara Islam seperti Iraq dan Libya serta negara-negara membangun yang lain; dan keberanian kepimpinan enggan mematuhi standard Barat dalam mencorakkan Malaysia - menjadikan negara ini sasaran baru. Apa yang dilakukan oleh anasir luar ini ialah dengan menyokong barisan pembangkang di negara ini atas nama keadilan, demokrasi dan sebagainya sedangkan hak keadilan dan demokrasi yang dikecapi oleh majoriti rakyat Malaysia tidak dihormati sebaliknya mahu dicabuli.

Menurut perkiraan anasir luar, dengan membantu menjana kekuatan barisan pembangkang menerusi sokongan moral, kewangan dan apa sahaja, ia mampu membuka ruang besar dalam meruntuhkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO.

Melemahkan UMNO bererti melemahkan kuasa Melayu dan kepimpinan Islam di negara ini. Keselamatan negara (national security) dalam konteks Malaysia adalah berteraskan kuasa dan survival Melayu. Sebelum ini, keselamatan negara walaupun menghadapi pelbagai ujian belum sampai ke tahap kritikal kerana sasaran serangan masih belum tepat dan menjejaskan 'centre of gravity' iaitu perpaduan orang Melayu.

Keadaan mulai berubah sekarang dan mungkin lebih banyak berubah selepas ini, jika orang Melayu tidak lagi melihat pembangunan negara dari sudut strategik; merapuhkan perpaduan yang ada dan jika tidak menyebatikan diri dengan soal kecemerlangan kepimpinan Melayu sekarang. Dalam konteks politik tanah air, Melayu yang lemah dan tidak cemerlang hanya mengundang padah. Ketika UMNO menghadapi serangan daripada sebahagian masyarakat Melayu, suara-suara memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina dan India sudah kedengaran.

Penulis masih tidak dapat melupakan peristiwa dimana apabila lima daripada 11 buah pertubuhan kaum Cina di Malaysia menuntut hak sama rata tanpa mengira status bumiputera dan bukan bumiputera. Lima pertubuhan itu ialah Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jio Zong), Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Bekas Penuntut Universiti Nanyang Malaysia, Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH) dan Persekutuan Persatuan Fuzhou Malaysia. Ini termasuklah yang terbaru tuntutan dari kumpulan haram Hindraf yang diketuai oleh professional kaum India.

Berita tuntutan tersebut telah disiarkan terlebih dahulu oleh The Straits Times Singapura, negara yang memperjuangkan meritokrasi secara tersirat untuk diguna pakai oleh Malaysia dalam mengangkat kedudukan masyarakat Cina sesegera mungkin. Tuntutan tersebut yang mendapat tandatangan 1,902 pertubuhan Cina dan diedarkan kepada semua parti politik sebagai rayuan pilihan raya.

Maksud yang jelas dalam tuntutan ini ialah penghapusan keistimewaan orang Melayu yang selama ini diperjuangkan dan dipertahankan oleh UMNO. Padahal, UMNO sudah menjelaskan bahawa keistimewaan orang Melayu perlu dipertahankan sekurang-kurangnya untuk tempoh tertentu memandangkan pencapaian ekonomi orang Melayu yang baru sekitar 22 peratus, itupun terjejas ekoran kegawatan ekonomi sejak 1997.

Persoalan lebih besar selain soal tuntutan itu ialah mengapa ianya dilakukan ? Adakah kerana merasakan kuasa politik Melayu mulai goyah sambil mahu menunjukkan 'kuasa' bahawa ekonomi negara ini masih dikuasai oleh masyarakat Cina? Bukankah ini untuk memperhebatkan tekanan kepada para pemimpin parti Cina yang menganggotai BN dan sudah tentu sasaran sebenar ialah kepimpinan UMNO supaya membuka ruang meritokrasi. Inilah juga agenda perjuangan kental DAP, yang kini menjadi rakan akrab Pas dan PKR.

Pas yang selama ini tergamak mendakwa UMNO dan BN haram kerana konsep multietnik, akhirnya menghalalkan DAP, semata-mata mahu memenangi hati masyarakat Cina demi menumbangkan BN yang diterajui oleh kepimpinan Islam. Kepada Pas, rekod dan pendirian kuat DAP menolak ketuanan Islam dan Melayu tidak penting, yang penting parti itu berjaya biarpun 'menang sorak'.

Perkembangan terbaru ekoran tuntutan pertubuhan-pertubuhan Cina itu mulai menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat Melayu. Ada yang sudah pergi jauh cuba mengaitkannya dengan konspirasi halus sebahagian pemimpin masyarakat Cina yang masih mahu bermain api perkauman. Dengan kata lain, masyarakat Melayu sudah merasakan tekanan atau xenophobia sebagaimana mereka melihat muslihat kolonial British pada tahun 1940-an. Bagi sesetengah pemerhati, keupayaan Melayu sebagai 'kuasa tawar-menawar' yang bertenaga dan ditakuti selama ini sejak zaman Tun Razak lagi dalam melayani sebarang desakan dan tuntutan masyarakat bukan Melayu, akan tergugat dan mungkin lenyap jika silap percaturan.

Sentimen sedemikian akan membawa bahaya baru kepada keselamatan negara jika MCA dan Gerakan gagal menggunakan pengaruhnya untuk meneutralkan keadaan kerana tugas sedemikian tidak boleh diharapkan kepada DAP, yang gemar memanipulasi keadaan.

Membangkitkan soal perkauman ketika negara dilanda krisis politik dan baru bertatih keluar daripada kegawatan ekonomi, hanya akan membantu memudahkan tugas anasir luar dalam meranapkan tunjang kekuatan Malaysia iaitu kuasa politik orang Melayu. Bayangkan kesannya jika BN tidak berupaya mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya nanti. Serangan luar dan tekanan dari dalam pasti memuncak semata-mata untuk melaksanakan penstrukturan semula orde masyarakat, yang tidak lagi bersandarkan keistimewaan orang Melayu.

Malangnya, sebahagian orang Melayu tidak melihat isu keselamatan Melayu dalam tindak-tanduk mereka termasuk berpolitik. Banyak cara untuk melemahkan orang Melayu dan agama Islam, apatah lagi jika orang Melayu sendiri membenarkan diri mereka terperangkap dalam muslihat anasir asing. Untuk mengharapkan Pas, realitinya semakin jauh. Parti itu tidak lagi berani untuk bersuara menegakkan kepentingan Melayu sejak 'roket DAP mencecah ke bulan Pas'. Untuk mengharapkan Keadilan, parti pelbagai kaum ini lagi segan-silu dan tidak berdaya berbuat demikian selagi perjuangannya untuk Anwar belum selesai, di samping kerakusan berdemonstrasi liar serta mendapatkan sokongan luar.

Inilah bentuk ancaman yang akan menguji martabat dan kelangsungan kuasa Melayu menjelang abad ke-21 dan zaman berikutnya iaitu tidak dapat lari daripada status quo masa kini. Maka, pilihan yang strategik untuk kepentingan masa depan Melayu ialah UMNO.

Rekod UMNO membuktikan bahawa parti itu mampu memimpin masyarakat majmuk daripada perspektif 'unity in diversity' sambil mengangkat martabat Melayu. Sama ada disukai atau tidak, UMNO sahaja yang menampakkan ia parti meyakinkan untuk anak cucu kita menghadapi muslihat dan ancaman terhadap Melayu. Senjatanya Cuma perpaduan - benteng terakhir Melayu. Itupun jika kita ada naluri untuk kelangsungan bangsa.

Taminsari
Shah Alam