23 March 2009

Tabung Kemanusiaan Gaza



Tabung Kemanusiaan Gaza anjuran Pemuda UMNO Padang Besar telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM3961.76. Wang kutipan yang digerakkan melalui Ketua-ketua Pemuda cawangan ini telah dimasukkan ke akaun IRM (Islamic Relief Malaysia). IRM merupakan sebuah badan yang menggerakkan misi membantu mangsa-mangsa kekejaman Yahudi laknatullah di bumi Palestine khususnya Gaza.

Semoga hasil gerak kerja yang kita, ahli-ahli Pemuda UMNO Padang Besar lakukan ini akan dapat menjadi sesuatu yang bermakna kepada saudara-saudara kita di sana. Walaupun kecil, harapan kita agar ianya dapat mencetuskan semangat bagi terus membangkitkan semangat jihad bagi pemuda-pemuda di sana untuk berjuang menentang bangsa Yahudi tersebut.

Hidup Palestine! Hidup Palestine! Hidup Palestine!

Selamat Bersidang

PAU semakin hampir. Sehubungan itu diucapkan selamat bersidang buat semua para perwakilan. PAU tahun ini rasanya antara perhimpunan yang paling mendapat tumpuan sepanjang usia UMNO selama ini. Ini kerana pada tahun ini, para perwakilan menggalas satu tanggungjawab yang amat berat untuk memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa untuk memulihkan imej UMNO/BN bagi menghadapi PRU ke-13.

Oleh itu, kita amat mengharapkan agar seluruh perwakilan dapat menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh amanah bagi memilih pemimpin yang sewajarnya, bukan hanya sebagai pemimpin atas diri kita sendiri mahupun kepada ahli UMNO sahaja malahan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita harus ingat, rakyat akan menilai wajah-wajah pemimpin yang kita pilih. Oleh itu, pilihlah pemimpin yang dapat memberi persepsi yang baik kepada rakyat, kerana merekalah yang akan menjadi pengundi pada pilihan raya nanti. Secara tidak langsung,mereka jugalah yang akan menentukan nasib UMNO pada masa hadapan.

Sekali lagi selamat bersidang kepada semua perwakilan terutama kepada Panglima-panglima dari Padang Besar, Sdr. Mohsin, Khairul Anuar (Nawab), Sdr. Rahimi dan Sdr. Ruzaini.

DIN

27 February 2009

12 RabiulAwwal 1430 Hijrah


TANGGAL 12 Rabiulawal pada tahun Gajah, tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang disambut dengan tasbih dan tahmid memuji kebesaran Allah s.w.t. oleh seisi alam semesta sebagai tanda gembira. Dalam memperingati hari kelahiran Baginda s.a.w, umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira warna kulit dan bangsa turut menyatakan kesyukuran dengan melahirkan kegembiraan tatkala meraikan bulan kelahiran Rasulullah ini. Di samping meraikan Rabiulawal sebagai bulan kelahiran Rasulullah s.a.w, terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku di sepanjang bulan kelahiran Rasulullah s.a.w. Peristiwa-peristiwa ini mempunyai nilai lahir kepada umat Islam dalam mengenang sirah perjuangan Nabi Muhammad memancarkan sinar Islam kepada umat manusia. Umat Islam juga dianjurkan melakukan amalan-amalan sunat pada bulan ini. Terdapat dua pendapat tentang kelahiran Nabi Muhammad. Ulama-ulama Syiah berpandangan bahawa tarikh kelahiran Rasulullah ialah pada 17 Rabiulawal dan sebahagian ulama (Sunnah) menyatakan pada hari Isnin 12 Rabiulawal. Hari kelahiran Nabi Muhammad adalah hari paling agung kepada umat Islam. Perbezaan pendapat ini bagaimanapun tidak wajar dijadikan pertikaian kerana apa yang lebih penting ialah kelahiran Nabi s.a.w adalah dalam bulan Rabiulawal. Al-Syaikh dalam kitab al-Misbah berpendapat, Rasulullah lahir ketika terbit fajar pada hari Jumaat bulan Rabiulawal dalam tahun Gajah. Dalam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w atau lebih dikenali sebagai ‘Maulid Nabi’ ini, umat Islam digalakkan berpuasa sunat, mandi sunat, berziarah ke makam Baginda dan mengerjakan amalan-amalan mulia serta memperbanyakkan tasbih, tahmid dan selawat. Peristiwa Rasulullah s.a.w dikepung oleh para pengikut Abu Jahal yang merancang untuk membunuh Baginda berlaku pada hari pertama Rabiulawal. Abu Jahal merancang untuk membunuh Rasulullah s.a.w ekoran tidak bersetuju dengan amalan Islam yang menghalang penyembahan berhala, sebaliknya hanya kepada Allah s.w.t. Ketika itu, Saidina Ali bin Abi Talib rela berkorban mempertahankan Rasulullah daripada rancangan jahat puak kafir tersebut dengan menawarkan dirinya untuk berada di tempat tidur Baginda demi keselamatannya. Tindakan Saidina Ali itu menggambarkan betapa luhurnya rasa kecintaan seorang sahabat Rasulullah terhadap Baginda sehingga sanggup berkorban untuknya. Justeru, umat Islam disunatkan untuk berpuasa sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, Rasulullah dan Saidina Ali selamat daripada rancangan jahat puak musyrikin Quraisy. Mengikut sesetengah pendapat, umat Islam digalakkan menziarahi makam Baginda s.a.w, memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah. Amalan bersedekah pula merupakan amalan yang paling digalakkan di dalam Islam. Ia tidak ditetapkan waktu sebaliknya ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Rasulullah s.a.w bernikah dengan Siti Khadijah binti Khuwailid pada hari ke sepuluh bulan ini. Dan pada bulan yang sama pada tahun Gajah, bapa saudara Rasulullah iaitu Abdul Mutalib meninggal dunia. Setelah Rasulullah keluar daripada Jabal Thur, Baginda menuju Madinah setelah mendapat perintah Allah s.w.t untuk melakukan hijrah yang pertama. Ahli sejarah Islam berpendapat, Baginda tiba di Quba pada 12 Rabiulawal sebelum menetap di sana selama empat hari. Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah pada 16 Rabiulawal dan singgah di Wadi Ranuna’ atau Wadi Slim. Di sinilah Rasulullah s.a.w menunaikan solat Jumaat pertama di Madinah bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu. Oleh demikian, sebuah masjid bernama Masjid Al-Jumaah telah dibina bersempena dengan peristiwa tersebut. Hasbi Ash Shiddiqi dalam pengantar Tafsir Al-Bayan menyatakan, ayat Nubuwwah yang menyatakan Nabi Muhammad di angkat sebagai Nabi turun pada bulan Rabiulawal. Di dalam kitab ini dinyatakan bahawa wahyu Allah yang pertama ialah surah Al-Alaq dan diikuti surah al-Mudattsir. Sementara itu, Jabir dan Ibnu Abbas berpendapat, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w berlaku pada hari Isnin 12 Rabiulawal, tiga tahun sebelum berlakunya peristiwa Hijrah. Sesungguhnya, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rabiulawal mengandungi nilai yang amat tinggi dalam perkembangan Islam. Perjuangan Rasulullah s.a.w menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelosok alam tidak berlaku dalam masa yang singkat.